Suatu hari satu pertempuran telah berlaku di antara pihak
Islam dengan pihak Musyrik. Kedua-dua belah pihak berjuang dengan hebat untuk
mengalahkan antara satu sama lain. Tiba saat pertempuran itu diberhentikan
seketika dan kedua-dua pihak pulang ke markas masing-masing.
Di sana Nabi Muhammad S.A.W dan para sahabat telah berkumpul
membincangkan tentang pertempuran yang telah berlaku itu. Peristiwa yang baru
mereka alami itu masih terbayang-bayang di ruang mata. Dalam perbincangan itu,
mereka begitu kagum dengan salah seorang dari sahabat mereka iaitu, Qotzman.
Semasa bertempur dengan musuh, dia kelihatan seperti seekor singa yang lapar
membaham mangsanya. Dengan keberaniannya itu, dia telah menjadi buah mulut
ketika itu.
"Tidak seorang pun di antara kita yang dapat menandingi
kehebatan Qotzman," kata salah seorang sahabat.
Mendengar perkataan itu, Rasulullah pun menjawab,
"Sebenarnya dia itu adalah golongan penduduk neraka."
Para sahabat menjadi hairan mendengar jawapan Rasulullah
itu. Bagaimana seorang yang telah berjuang dengan begitu gagah menegakkan Islam
boleh masuk dalam neraka. Para sahabat berpandangan antara satu sama lain
apabila mendengar jawapan Rasulullah itu.
Rasulullah sedar para sahabatnya tidak begitu percaya dengan
ceritanya, lantas baginda berkata, "Semasa Qotzman dan Aktsam keluar ke
medan perang bersama-sama, Qotzman telah mengalami luka parah akibat ditikam
oleh pihak musuh. Badannya dipenuhi dengan darah. Dengan segera Qotzman
meletakkan pedangnya ke atas tanah, manakala mata pedang itu pula dihadapkan ke
dadanya. Lalu dia terus membenamkan mata pedang itu ke dalam dadanya."
"Dia melakukan perbuatan itu adalah kerana dia tidak
tahan menanggung kesakitan akibat dari luka yang dialaminya. Akhirnya dia mati
bukan kerana berlawan dengan musuhnya, tetapi membunuh dirinya sendiri.
Melihatkan keadaannya yang parah, ramai orang menyangka yang dia akan masuk
syurga. Tetapi dia telah menunjukkan dirinya sebagai penduduk neraka."
Menurut Rasulullah S.A.W lagi, sebelum dia mati, Qotzman ada
mengatakan, katanya, "Demi Allah aku berperang bukan kerana agama tetapi
hanya sekadar menjaga kehormatan kota Madinah supaya tidak dihancurkan oleh
kaum Quraisy. Aku berperang hanyalah untuk membela kehormatan kaumku. Kalau
tidak kerana itu, aku tidak akan berperang."
Riwayat ini telah dirawikan oleh Luqman Hakim.
TIDAK AKAN MASUK NERAKA ORANG YANG MENANGIS KERANA TAKUTKAN ALLAH
Rasulullah S.A.W telah bersabda, "Bahawa
tidak akan masuk neraka orang menangis kerana takut kepada Allah sehingga ada air
susu kembali ke tempat asalnya."
Dalam sebuah kitab Daqa'iqul Akhbar menerangkan bahawa akan
didatangkan seorang hamba pada hari kiamat nanti, dan sangat beratlah timbangan
kejahatannya, dan telah diperintahkan untuk dimasukkan ke dalam neraka.
Maka salah satu daripada rambut-rambut matanya berkata,
"Wahai Tuhanku, Rasul Engkau Nabi Muhammad S.A.W telah bersabda, sesiapa
yang menangis kerana takut kepada Allah S.W.T, maka Allah mengharamkan matanya
itu ke neraka dan sesungguhnya aku menangis kerana amat takut kepada-Mu."
Akhirnya Allah S.W.T mengampuni hamba itu dan menyelamatkannya
dari api neraka dengan berkat sehelai rambut yang pernah menangis kerana takut
kepada Allah S.W.T. Malaikat Jibril A.S mengumumkan, telah selamat Fulan bin
Fulan sebab sehelai rambut."
Dalam sebuah kitab lain, Bidayatul-Hidayah, diceritakan bahawa
pada hari kiamat nanti, akan didatangkan neraka jahanam dengan mengeluarkan
suaranya, suara nyalaan api yang sangat menggerunkan, semua umat menjadi
berlutut kerana kesusahan menghadapinya. Allah S.W.T berfirman yang bermaksud,
"Kamu lihat (pada hari itu) setiap umat berlutut (yakni merangkak pada
lututnya). Tiap-tiap umat diseru kepada buku amalannya. (Dikatakan kepadanya)
Pada hari ini kamu dibalasi menurut apa-apa yang telah kau kerjakan."
(Surah al-Jatsiyah ayat 28)
Sebaik sahaja mereka menghampiri neraka, mereka mendengar
kegeraman api neraka dengan nyalaan apinya, dan diterangkan dalam kitab
tersebut bahawa suara nyalaan api neraka itu dapat didengar sejauh 500 tahun
perjalanan. Pada waktu itu, akan berkata setiap orang hingga Nabi-nabi dengan
ucapan, "Diriku, diriku (selamatkanlah diriku Ya Allah) kecuali hanya
seorang nabi sahaja yang akan berkata, "Umatku, umatku."
Beliau ialah junjungan besar kita Nabi Muhammad S.A.W. Pada masa
itu akan keluarlah api neraka jahim seperti gunung-gunung, umat Nabi Muhammad
berusaha menghalanginya dengan berkata, "Wahai api! Demi hak orang-orang
yang solat, demi hak orang-orang yang ahli sedekah, demi hak orang-orang yang
khusyuk, demi hak orang-orang yang berpuasa, supaya engkau kembali."
Walaupun dikata demikian, api neraka itu tetap tidak mahu kembali,
lalu malaikat Jibril berkata, "Sesungguhnya api neraka itu menuju kepada
umat Muhammad S.A.W"
Kemudian Jibril membawa semangkuk air dan Rasulullah meraihnya.
Berkata Jibril A.S. "Wahai Rasulullah, ambillah air ini dan siramkanlah
kepadanya." Lalu Baginda mengambil dan menyiramkannya pada api itu, maka
padamlah api itu.
Setelah itu Rasulullah S.A.W pun bertanya kepada Jibril A.S.
"Wahai Jibril, Apakah air itu?" Maka Jibril berkata, "Itulah air
mata orang derhaka di kalangan umatmu yang menangis kerana takut kepada Allah
S.W.T. Sekarang aku diperintahkan untuk memberikannya kepadamu agar engkau
menyiramkan pada api itu." Maka padamlah api itu dengan izin Allah S.W.T.
Telah bersabda Rasulullah S.A.W, " Ya Allah anugerahilah
kepada kami dua buah mata yang menangis kerana takut kepada-Mu, sebelum tidak
ditemunya air mata."
KISAH LUQMAN AL-HAKIM DENGAN TELATAH MANUSIA
Dalam sebuah riwayat menceritakan, pada suatu hari Luqman Hakim
telah masuk ke dalam pasar dengan menaiki seekor himar, manakala anaknya
mengikut dari belakang. Melihat tingkah laku Luqman itu, setengah orang pun
berkata, 'Lihat itu orang tua yang tidak bertimbang rasa, sedangkan anaknya dibiarkan
berjalan kaki."
Setelah mendengarkan desas-desus dari orang ramai maka Luqman pun
turun dari himarnya itu lalu diletakkan anaknya di atas himar itu. Melihat yang
demikian, maka orang di passar itu berkata pula, "Lihat orang tuanya
berjalan kaki sedangkan anaknya sedap menaiki himar itu, sungguh kurang adab
anak itu."
Sebaik sahaja mendengar kata-kata itu, Luqman pun terus naik ke
atas belakang himar itu bersama-sama dengan anaknya. Kemudian orang ramai pula
berkata lagi, "Lihat itu dua orang menaiki seekor himar, adalah sungguh
menyiksakan himar itu."
Oleh kerana tidak suka mendengar percakapan orang, maka Luqman dan
anaknya turun dari himar itu, kemudian terdengar lagi suara orang berkata,
"Dua orang berjalan kaki, sedangkan himar itu tidak dikenderai."
Dalam perjalanan mereka kedua beranak itu pulang ke rumah, Luqman
Hakim telah menasihatai anaknya tentang sikap manusia dan telatah mereka,
katanya, "Sesungguhnya tiada terlepas seseorang itu dari percakapan
manusia. Maka orang yang berakal tiadalah dia mengambil pertimbangan melainkan
kepada Allah S.W.T sahaja. Barang siapa mengenal kebenaran, itulah yang menjadi
pertimbangannya dalam tiap-tiap satu."
Kemudian Luqman Hakim berpesan kepada anaknya, katanya,
"Wahai anakku, tuntutlah rezeki yang halal supaya kamu tidak menjadi
fakir. Sesungguhnya tiadalah orang fakir itu melainkan tertimpa kepadanya tiga
perkara, iaitu tipis keyakinannya (iman) tentang agamanya, lemah akalnya (mudah
tertipu dan diperdayai orang) dan hilang kemuliaan hatinya (keperibadiannya),
dan lebih celaka lagi daripada tiga perkara itu ialah orang-orang yang suka
merendah-rendahkan dan meringan-ringankannya."
No comments:
Post a Comment